Monday, September 7, 2009

Usaha Kita Bermatlamat

oleh: http://penapistola.wordpress.com/

Allah s.w.t telah menyediakan buat kita petunjuk yang di dalamnya tidak punya keraguan dan kepesongan. Kitabullah Al-Quran al-Karim memiliki di dalamnya segala halatuju setiap satu perkara dalam hidup kita. Matlamat yang digariskan kepada kita diisi dalam bentuknya yang unik, baik secara terus, mahupun dengan kisah-kisah yang memerlukan kita untuk berfikir demi mempelajari seribu satu pengajaran yang bererti. Namun yang menjadi persoalannya adakah si fulan yang bergelar muslim faham dan hayati matlamat-matlamat dalam kitabullah itu?

Wahai saudaraku, sekiranya kita memerhatikan si fulan muslim telah berusaha dan melaksanakan setiap satu matlamat yang telah digariskan, maka usaha kita dalam amar makruf nahi mungkar telah pun terlaksana. Sekiranya tidak, maka ketahuilah bahawa usaha kita perlu diteruskan untuk membawa kita dan mereka kepada matlamat ini.

Apakah halatuju hidup?

Sasaran kehidupan dijelaskan oleh Allah s.w.t. dengan jelas di dalam al-Quran al-Karim. Sasaran ini dijelaskan sesuai untuk manusia, dalam dua arah yang sesuai bagi setiap satu jenis manusia. Ada sasaran buat mereka yang hanya ingin bersenang-lenang (47:12), ada pula yang hanya inginkan keindahan dan segala perhiasan dunia (3:14), ada pula yang hanya melakukan kemusnahan dan huru-hara (2:204-205) sementara orang-orang beriman, Allah memberikan kepada mereka satu penjelasan yang secerah cahaya bagi mereka (22:77-78).

Setiap seorang di muka bumi ini tidak terlepas dari sasaran-sasaran yang telah Allah s.w.t. nyatakan kepada kita, tidak suatupun.

Ayuhai ikhwan, lihatlah kembali kepada setiap seorang sahabatmu di sisi. Apakah mereka berada bersama golongan mukmin yang telah diberikan petunjuk secerah cahaya kepada mereka? Renungilah, dan bermuhasabahlah.

Hidup penyeru amar makruf nahi mungkar sinonim dengan pengorbanan

Dalam usaha amar makruf nahi mungkar, tidak ada langkah yang mudah. Setiap suatu usaha memerlukan pengorbanan yang besar dan sesungguhnya orang-orang yang beriman telahpun menjual seluruh jiwa dan raganya kepada Allah s.w.t. dalam suatu urusan jual beli yang amat menguntungkan (9:111). Seorang muslim menjadikan kehidupannya sebagai harta wakaf di muka bumi. Tiada suatu baginya yang berharga dari perhiasan duniawi ini melainkan setiap suatunya bernilai besar untuk usaha amar makruf nahi mungkarnya. Itulah kehidupan dakwah baginya.

Atas sebab inilah, maka setiap orang beriman akan mempersiapkan dirinya dengan segala suatu persiapan sebagai seorang guru yang syumul untuk membimbing manusia. Ia akan berusaha sedaya upaya memiliki sifat penunjuk jalan, pembawa panji kebaikan, rahmat dan ihsan kepada sekelian manusia. Semua ini demi membawa umat islam kepada matlamatnya yang sebenar seperti di dalam al-Quran.

Pokok, Cabang dan Landasan Matlamat Kita

Setiap orang yang berusaha dalam jalan amar makruf nahi mungkar perlu benar-benar jelas dengan matlamat usahanya. Sekiranya matlamatnya masih kabur, yang dekat tak perasan, yang jauh tak terlihat, maka perlulah kita menjelaskan matlamat ini buat mereka. Kita meyakini bahawa matlamat kita adalah untuk membawa manusia hidup di bawah naungan islam, sistem dan undang-undangnya, kerana ini sahajalah jalan mencapai ke arah kebahagiaan hidup mereka. Ayuhai ikhwan, apakah matlamat anda membimbing manusia? Apakah yang dekat dan apakah yang jauh? Apakah yang utama, apakah yang sepele?

Matlamat bagi kita dipelajari dari al-Quran, dicontohi dari hadith-hadith Nabi s.a.w. yang benar dan praktiknya dilihat dari amalan generasi pertama, yang merupakan contoh terbaik keperibadian umat. Bagi yang meyakini dengan perkara ini, maka ia menjadi manifestasi sebagian dari imannya, bagi yang masih sangsi, maka di hadapan kita ada bukti-bukti yang kukuh dan adil, maka biar bukti-bukti ini menjadi pendokong kita kelak (7:89).

Siapa kita?

Kita bekerja demi kepentingan akhirat dan dunia manusia. Kita korbankan segala harta dan jiwa kita untuk matlamat ini. Matlamat untuk membawa kebahagiaan ummah dan saudara-saudara kita. Alangkah besarnya harapan kita agar masyarakat melihat pemuda-pemuda yang berda’wah, sentiasa berjaga malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, melihat mereka berhempas pulas sedangkan mereka yang hanyut terus membuang masa, berada di pejabat dan pusat-pusat da’wah dari asar hinggalah ke lewat malam bekerja dan berfikir bersungguh-sungguh demi membimbing manusia ke arah matlamat yang agung itu. Setelah akhir bulan, mereka menyumbangkan harta benda mereka, pendapatan mereka demi usaha amar makruf nahi mungkar. Demi da’wah mereka kepada umat manusia.

Usaha setiap pemuda dai’e itu seolah berkata kepada ummat yang leka, “Saya tidak pernah meminta ganjaran daripada kamu kerana pengorbanan ini. Segala ganjaran saya hanyalah daripaa Allah. Saya adalah daripada kalangan anda, demi anda. Yang saya harapkan adalah anda memahami da’wah ini dan menyahut seruan saya agar kita bersama-sama menuju redha Allah s.w.t.”

Inilah kita, kita sebahagian dari pemuda-pemuda tersebut.

Sumber kuasa terhebat

Kemudahan yang timbul dalam hati penda’wah untuk melakukan ini semua terletak pada kuatnya akidah mereka terhadap kebesaran Allah. Mereka tidak goyah menghadapi perlian, cercaan dan kutukan dari ummat yang leka dan tertipu. Keberanian mereka adalah demi Allah, kuatnya keberanian mereka seperti kuatnya ketakutan mereka kepada Allah dan kemurkaan-Nya. Mereka bersedia menghadapi bala tentera yang besar demi menegakkan kebenaran yang diturunkan Allah s.w.t. Mereka beriman dengan firman Allah s.w.t. (3:160).

Kita bukan berfantasi

Ya ikhwan, hendaklah kita bersabar dengan segala tohmahan mereka yang lesu dalam ta’abud mereka terhadap Allah s.w.t. Apa yang kita lihat hari ini mengelirukan dan jauh, namun pada generasi silam, ianya dekat dan nyata. Jihad dan usaha kita tidak akan membuahkan hasil kecuali jika kita turut merasakan perkara yang sama seperti mereka. Generasi islam yang pertama telah membaca al-Quran, sebaik sahaja mereka membacanya sebaik ia turun, mereka memahaminya, sama seperti apa yang kita fahami dan sampaikan kepada manusia hari ini. Kita hiduplah berdasarkan keyakinan ini, menaruh sepenuh harapan dan bersedia berkorban demi keyakinan ini.

Bagi mereka segala keseronokan, keindahan dan kebahagiaan dan kebenaran ada bersama keyakinan kita ini (57:16). Jika kita meyakini perkara ini, maka hendaklah kita bersiap, dan hendaklah kita bersedia sepenuhnya, demi mencapai kejayaan yang kita impikan.

Baikilah budaya masyarakat

Setiap manusia punyai budaya dan kebiasaan yang mereka hidup dengannya. Ada budaya ini baik dan ada antaranya buruk. Menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha sedaya upaya agar budaya ini bertepatan dengan tuntutan Allah s.w.t. ke atas setiap hambanya (24:2). Perhatikanlah dari aspek halal dan haramnya, awlawiyyatnya serta keperluannya kepada diri mereka, ummat dan terhadap pengabdian kepada Allah. Sekiranya anda mendapati kekurangan pada budaya tersebut hingga tidak menepati dengan syariat Allah, maka berusahalah untuk membetulkannya dengan berhikmah dan berkesan.

Inilah jalannya

Walaupun jalan ini jauh, namun di sana tiada jalan lain untuk membina suatu kebangkitan yang sebenar. Sejarah dan pengalaman lalu membuktikan perkara ini. Utamakanlah yang wajib. Laksanakanlah tanggungjawab anda dahulu terhadap masyarakat, diikuti keiingingan mendapatkan ganjaran akhirat dan seterusnya untuk mendapat ganjaran dunia. Dengan beramal sudah cukup untuk melaksanakan tanggungjawabnya dan pastinya mendapat ganjaran dari Allah s.w.t. jika ia menepati syarat-syarat ibadah yang sahih. Ingatilah tujuan sebenar kita dalam beramal (7:164-165).

Dipetik dengan sedikit olahan daripada Halatuju Dakwah Kita, Majmuatur Rasail, Hasan Al-Banna.

No comments: